Lima bulatan dari Stutong ke Kota Samarahan akan ditukar ke persimpangan lampu isyarat

Lee (duduk enam dari kiri) bersama wakil semua jabatan dan agensi yang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri hari ini (Mac 5, 2020).
Advertisement

KUCHING, Mac 5: Kementerian Pengangkutan Sarawak akan menukarkan sebanyak lima bulatan besar dari berhampiran Pasar Stutong di bandar raya ini sehingga berhampiran Bangunan Salcra di Kota Samarahan menjadi persimpangan lampu isyarat tahun ini.

Menterinya, Datuk Lee Kim Shin berkata beliau sudah mengadakan menyuarat mengenai perkara itu dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi mengeluarkan tender projek penukaran lima bulatan besar tersebut kepada persimpangan lampu isyarat.

“Ini salah satu cara mengatasi masalah kesesakkan lalulintas serius di sepanjang laluan jalan terbabit ketika ini. Pengeluaran tender projek terbabit akan dilakukan tahun ini, saya tidak tahu bulannya tetapi tidak lama lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri, di sini, hari ini.

Advertisement

Lee berkata lima bulatan besar itu adalah yang berhampiran Pasar Stutong dan berhampiran Tabuan Tranquility di bandar raya ini manakala di Kota Samarahan berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP), berhampiran Pusat Jantung Sarawak dan berhampiran Bangunan Salcra.

“Pelan reka bentuk dan sebagainya sudah disediakan dan hanya menunggu pengeluaran tendernya tidak lama lagi. Dan diharapkan menjelang 2021 masalah kesesakkan lalulintas dapat diatasi dengan siapnya persimpangan lampu isyarat terbabit,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga akan mewujudkan stesen pakir lori di semua bandar utama seluruh negeri ini bagi mengelakkan lori dipakir di tepi jalan dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Salah satu isu dibangkitkan Persatuan Lori Sarawak ialah berkaitan pakir lori dimana mereka mahu diwujudkan stesen pakir lori. Kami juga menerima aduan orang ramai di kawasan perumahan mengenai lori dipakir ditepi jalan di sana dan amat berbahaya,” katanya.

Lee berkata pihaknya berikutan itu meminta Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk mencari kawasan tanah bagi mewujudkan stesen pakir lori di setiap bandar utama negeri ini. — DayakDaily

Advertisement