Lima beranak nyaris maut, kereta dinaiki terjatuh dalam gaung

Keadaan kereta yang dinaiki lima beranak yang terbalik selepas terjatuh dalam gaung.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Ogos 13: Lima sekeluarga nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di Batu 29, Jalan Kuching-Serian, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu mengakibatkan seorang ibu dan empat anaknya mengalami kecederaan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 10.07 pagi.

Katanya, sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati nahas tersebut melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil dalam keadaan terbalik.

“Kelima-lima anak beranak yang berusia antara 1 dan 38 tahun selamat dan telah dikeluarkan dari kenderaan itu oleh orang awam,” katanya, di sini, hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja menstabilkan kereta tersebut dan memutuskan bekalan elektrik pada panel bateri untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, unit EMRS bomba kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa yang terlibat sebelum dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan dan rawatan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas keadaan di lokasi kejadian kembali terkawal,” katanya. — DayakDaily