Liga M3: Sarawak United II terlepas dua mata

Barisan kesebelasan utama skuad Sarawak United II.

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 16 Mac: Pasukan Sarawak United II terlepas dua mata selepas diikat PIB FC, 2-2, dalam aksi Liga M3 di Stadium Mini Shah Alam semalam.

Muhammad Huzaini Mohd Ikram menjadi duri dalam daging anak-anak buah Sam Timbe selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83 ketika Sarawak United II mendahului 2-1.


PIB FC terlebih dahulu di depan hasil jaringan Muhammad Ashraff Azhar pada minit ke-22.

Bagaimanapun, Omar Mitinama berjaya menyamakan kedudukan untuk Sarawak United II dengan jaringan pada minit ke-47.

Sarawak United II membimbing perlawanan selepas penyerang, Baraka Uhindi, meledak gol pada minit ke-81.

“Agak kecewa kerana kita terlepas dua mata yang begitu penting dalam keadaan kemenangan sudah hampir pasti diperolehi,” ujar pegawai perhubungan Sarawak United II, Abang Rili Abang Sa’adeli ketika dihubungi.

Menurut beliau, jika pemainnya berjaya mempertahankan kelebihan gol tersebut mungkin boleh mencetus semangat kepada pemain.

Beliau, dalam pada itu, tetap memuji aksi pemain yang telah melaksanakan tugas dengan baik sekali.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad Sarawak United II mengumpul satu mata selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini.

Aksi pertama mereka tewas 0-1 ketika menentang Melaka United FC di sini dua minggu lepas. — DayakDaily