KUCHING, 17 Dis: Bertanding di kubu kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri 12 (PRN-12) tidak memberi kedudukan selesa buat calon baharu N62 Katibas, Lidam Assan.
Lidam bakal berhadapan dengan lima calon lain bagi mempertahankan kerusi DUN Katibas yang sebelum ini dipegang oleh Dato Sri Ambrose Belikau.
Kurang 24 jam sebelum PRN-12 berlangsung esok, Lidam berkata usaha mendekati pengundi dan penduduk di DUN Katibas masih diteruskan.
Sebagai muka baharu katanya, beliau mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memberi keyakinan khidmat yang dapat diberikan kepada semua penduduk Katibas.
“Sejak sekian lama, penduduk di sini memang sudah menerima pelbagai manfaat dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan GPS.
“Penduduk di sini sudah jelas dengan keupayaan GPS.
“Walaubagaimanapun, sebagai muka baharu, saya mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan khidmat GPS di sini dapat diteruskan dan tentunya ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Lidam menegaskan, bertanding di kubu kuat GPS juga tidak memberikan laluan mudah buat beliau.
“Saya perlu berusaha lebih keras bagi memberi keyakinan kepada penduduk di sini. Apa yang lebih penting adalah memastikan keperluan penduduk dan kawasan ini dapat dipenuhi,” katanya.
Lidam berkata, beliau turut bersyukur kerana aktiviti berkempen, meskipun terpaksa dilaksanakan dengan mematuhi SOP yang ketat dengan perjumpaan bersama pengundi yang terhad disebabkan oleh penularan wabak Covid-19, berjaya diadakan dengan lancar.
“Tentunya ini suasana PRN yang begitu asing bagi Sarawak. Tetapi kita akur dengan keadaan semasa dan harus patuh kepada SOP kerana apa yang penting adalah keselamatan dan kesihatan semua pihak.
“Saya berterima kasih kepada ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan calon-calon lain PRN12 kerana telah banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada saya,” katanya. — DayakDaily