Libas anak saudara guna parang, pemandu bas ditahan

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Sept 5: Tindakan ganas seorang lelaki menyerang anak saudaranya dengan sebilah parang akhirnya memakan diri apabila dia ditahan polis.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan polis di Jalan Market di sini pada pukul 9.30 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, siasatan awal mendapati insiden itu bermotifkan dendam.


Katanya, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan anak saudaranya yang berusia 28 tahun kerana menegurnya menampar teman wanitanya baru-baru ini.

“Sebelum itu suspek yang membawa sebilah parang yang dibalut dengan suratkhabar telah menghayunkan parang ke arah mangsa.

“Mangsa yang panik melihat tindakan suspek kemudian mempertahankan diri hingga mengakibatkan dia cedera pada tangan kirinya,” katanya di sini hari ini.

NG menambah, siasatan lanjut mendapati suspek merupakan seorang pemandu bas.

Jelasnya, suspek juga disahkan mempunyai masalah mental selain sering membuat kecoh di kawasan kejiranan tempat dia tinggal

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

“Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau rotan atau mana-mana dua hukuman,” katanya lagi. — DayakDaily