KUCHING, Okt 9: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) setakat ini tidak menghadapi masalah mengesan sesiapa sahaja termasuk golongan kenamaan yang cuba mengelakkan dari membayar cukai pendapatan mereka kepada lembaga itu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM, Datuk Mohd Nizom Sairi mendedahkan lembaga itu malahan semakin mudah mengesan perbuatan tersebut berikutan kebanyakkan transaksi urusniaga kewangan ketika ini dilakukan secara atas talian.
“Saya tidak ada statistiknya di tangan, tetapi setiap tahun memang banyak (kes rakyat negara termasuk golongan kenamaan yang mengelak bayar cukai pendapatan), dimana setelah kita jalankan audit dan siasatan (terperinci) didapati cukai yang mereka laporkan dan bayar adalah kurang dari yang sepatutnya,” katanya selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat 2018 LHDNM, di Sekolah Kebangsaan (SK) Satria Jaya di Taman BDC, Stampin, di sini, hari ini.
Diperasmian program berkenaan sebanyak lima sekolah menerima alat bantuan mengajar yang berupa projektor dari LHDNM iaitu SK Satria Jaya, SK Tan Sri Datuk Haji Mohamad, SK Pasir Pandak, SK Santubong dan SK Tambirat.
Mohd Nizom berkata LHDNM sehubungan itu akan terus berusaha mengesan sesiapa sahaja termasuk golongan kenamaan yang mengelak membayar cukai pendapatan di negara ini dan pihaknya akan mendakwa mereka sekiranya terbukti memang sengaja melakukannya.
“Tetapi golongan kenamaan ini kadang-kadang mereka dikenali umum dan menyebabkan tindakan kami terhadap mereka juga lebih mudah diketahui umum berbanding orang biasa,” katanya.
Sementara itu mengenai kesedaran rakyat negara ini terhadap pembayaran cukai pendapatan kepada LHDNM, Mohd Nizom berkata secara keseluruhannya kesedaran terbabit semakin meningkat dari tahun ke tahun.
“Ini terbukti dengan peningkatan kutipan cukai pendapatan LHDNM secara keseluruhannya dari tahun ke tahun yang bukan hanya disebabkan pembangunan ekonomi negara tetapi juga peningkatan kesedaran terhadap pembayaran cukai,” katanya.
Selain itu, dalam ucapannya di majlis terbabit, Mohd Nizom juga mengingatkan kalangan guru sekolah di negeri ini yang ada sumber pendapatan sampingan samada menjadi guru tuisyen atau menjalankan perniagaan atas talian supaya melaporkannya kepada LHDNM.
Beliau berkata ini kerana sumber pendapatan sampingan terbabit sekiranya sampai ke suatu peringkat juga boleh dikenakan cukai dan guru boleh diambil tindakan oleh lembaga itu sekiranya mengesan mereka telah tidak melaporkannya. — DayakDaily