Oleh Brad Rantayy
MIRI, 23 Sept: Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sini telah ditahan dalam satu operasi petang Khamis (22 Sept).
Suspek berusia 33 tahun itu yang tidak bekerja ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Nakotik IPD Miri sekitar jam 2.30 petang semalam, bertempat di kawasan parkir kereta belakang bangunan Servay Hypermarket, Pelita Commercial Centre.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, turut ditemui bersama suspek, satu bungkusan plastik mengandungi 13 paket lutsinar disyaki memgandungi dadah jenis Methamphetamine yang dianggarkan berjumlah RM9,800.
“Semasa hendak melakukan pemeriksaan, salah seorang anggota serbuan telah melihat lelaki tersebut membuang satu bungkusan plastik melalui tingkap tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta,” ujar Alexson.
Katanya, anggota serbuan telah mengambil bungkusan plastik tersebut dan setelah diperiksa terdapat dadah yang disyaki jenis Methamphetamine.
Sebuah kereta jenis Toyota Corolla Cross berwarna putih yang dipandu oleh lelaki tersebut turut disita untuk dijadikan barang kes.
Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 September.
Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
Pihak polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama. — DayakDaily