Oleh Dean Adam
BAU, April 2: Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia menemui ajal selepas van yang dipandunya hilang kawalan lalu terhumban masuk dalam gaung di KM19.8, Jalan Bau-Lundu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Jikem Jaiee, 66, dari Kampung Stungkor disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Pekan Bau dari arah Kampung Stungkor.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Nissan Vanette yang dipandu mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di tepi jalan berkenaan.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan van berkenaan terbalik, manakala mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepalanya,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily