Oleh Dean Adam
KOTA SAMARAHAN, Okt 23: Seorang lelaki warga emas maut selepas van yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Uni Garden di sini.
Bagaimanapun, mangsa, Hiew Shee Khiong, 73, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan pada pukul 8 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian itu, mangsa yang memandu sebuah van sedang dalam perjalanan ke arah pusat bandar ini.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di tempat kemalangan, sebuah kereta Proton Perdana dikatakan memasuki laluan bertentangan selepas mengelak sebuah kereta lain.
“Akibat rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya.
“Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Pusat Jantung Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, pemandu kereta dan seorang penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu kereta untuk membantu siasatan.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily