Lelaki warga emas maut, kereta rempuh pokok di Pujut

Keadaan di lokasi kejadian.

MIRI, 17 April: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan kendiri di hadapan 59 Food Court Pujut 7, di sini lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.09 tengah malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang telah melanggar pokok.

“Terdapat seorang mangsa masih berada di dalam kereta tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak Bomba kemudian mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan menyerahkan kepada pihak ambulan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang hadir di lokasi,” katanya.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Setelah memastikan keadaan selamat, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 67 tahun. — DayakDaily