Lelaki warga emas maut dirempuh kereta semasa melintas jalan

Kelihatan lokasi kemalangan.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 17: Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia menemui ajal selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob sebelum Jambatan Satok di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Shamsuddin Abidin, 88.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang melintas jalan telah dirempuh oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Jelasnya, sebelum itu, kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 34 tahun dikatakan datang dari arah Petra Jaya menuju ke Jambatan Satok.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

“Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, pihak polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta berkenaan untuk membantu siasatan kes.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. ā€” DayakDaily