Lelaki warga emas maut dihempap pokok

Kelihatan mangsa yang dihempap pokok.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Feb 5: Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia maut dihempap sebatang pokok di kawasan hutan berhampiran Jalan Bungkang-Sri Aman di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu mengakibatkan mangsa Kalom Manggai, 65, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata sebelum kejadian, mangsa dikatakan bersama rakannya telah melakukan kerja-kerja membelah pokok di sekitar kawasan kejadian untuk membuat papan.

Bagaimanapun katanya, rakan-rakan mangsa yang lain kemudian pulang awal ke kediaman mereka dan mangsa pula dikatakan masih berada di tempat kejadian untuk menyiapkan kerja-kerja membuat papan.


Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari hutan.

“Rakan-rakan mangsa yang risau lelaki berkenaan belum pulang seterusnya bertindak
untuk mencari mangsa di kawasan hutan itu sebelum menemui mangsa dihempap sebatang pokok.

“Mereka kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian mendapati mangsa sudah dikeluarkan oleh rakan-rakannya.

Ujarnya, pihak bomba seterusnya bertindak membawa mangsa keluar dari kawasan hutan untuk tindakan selanjutnya.

“Petugas perubatan kemudian melakukan pemeriksaan ke atas mangsa sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah malam,” katanya. — DayakDaily