Lelaki warga emas maut dalam kemalangan di Betong-Sarikei

Keadaan kereta mangsa.

BETONG, 30 April: Seorang lelaki warga emas maut, dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 83 Jalan Betong-Sarikei, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak SUPT Bingkok John berkata mangsa, 63 tahun berasal dari Rumah Nanga Ngayau Debak, Betong.

Katanya, semasa kejadian mangsa memandu sebuah kereta jenis Proton Iswara dan dilanggar sebuah Toyota Hilux iaitu sekitar jam 5 petang.


“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux terbabit hilang kawalan hingga melanggar kereta mangsa akibat gagal memotong.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan badan telah disahkan meninggal dunia di Hospital Betong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Betong untuk tindakan selanjutnya.

Manakala pemandu Toyota Hilux dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily