Oleh Dean Adam
KUCHING, Dis 7: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Maong berhampiran SJK Chung Hua No 6 di sini tengah malam tadi ditemui mati lemas.
Mangsa, Sim Kay Liang, 66, ditemui oleh pasukan bomba kira-kira pukul 1.07 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata mangsa ditemui kira-kira 30 minit selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Semasa dijumpai, lelaki malang berkenaan sudah dalam keadaan tidak bernyawa, katanya.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke darat sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan. Selepas itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 12.27 tengah malam.
Katanya, sejurus menerima maklumat tersebut, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi SAR.
“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya selepas mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut pada 2.14 pagi,” ujarnya. — DayakDaily