Lelaki warga emas hilang selepas keluar ke laut tangkap ikan

Pasukan bomba melakukan tinjauan di lokasi sekitar kawasan kejadian.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mei 15: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar ke laut untuk menangkap ikan pada Mei 13 lalu.

Bagaimanapun, pihak bomba hanya dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa, Aziz Jaffar Atahar, 69, daripada pihak polis kira-kira pukul 4.30 petang tadi.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Kampung Jepak telah keluar ke laut berseorangan menaiki perahu untuk menangkap ikan pada pukul 7.30 malam.

“Cuaca hujan semasa kejadian dan selepas itu, mangsa tidak balik ke rumah.

“Bimbang akan keselamatan mangsa, anaknya telah membuat laporan polis pada hari ini,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba Bintulu telah diarah bergerak ke lokasi bagi mengesahkan maklumat dan meninjau di sekitar kawasan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dilakukan esok dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. ā€” DayakDaily