KAPIT, Feb 19: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang hilang selepas keluar memeriksa jaring ikan di Sungai Baleh pada Sabtu lalu berjaya menemui mayat mangsa, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, PBK II Abu Osman berkata, mangsa, Reba Gawing, 63, ditemui terapung oleh penduduk tempatan di Kerangan Ara Baleh kira-kira pukul 9 pagi.
Katanya, sebaik menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat mangsa dijumpai.
“Kami (bomba) mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke lokasi mayat mangsa ditemui dengan menggunakan sebuah bot penyelamat.
“Sejurus mengangkat mayat mangsa ke dalam bot, kami telah bergerak balik semula ke jeti Kapit bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abu menambah, sebaik tiba di jeti pada pukul 12.30 tengah hari, pasukan bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kapit untuk dibedah siasat,” katanya lagi.
Semalam DayakDaily melaporkan seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya setelah keluar memeriksa jaring ikan di Sungai Baleh di sini petang Sabtu lalu.
Mangsa, Reba Gawing, 63, dilaporkan tidak pulang ke kampung selepas keluar memeriksa jaring ikan pada pukul 6 petang. ā DayakDaily