Lelaki warga emas berusia 109 minta bantuan bomba, rumah dinaiki air banjir

Lelaki warga emas yang dibantu oleh pasukan bomba.

BAU, Feb 3: Seorang lelaki warga emas berusia 109 tahun bersama anaknya terpaksa meminta bantuan pihak bomba selepas kediaman mereka di Kampung Stass dinaiki air banjir, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa, Tundeng Taduoi, 109, dan anaknya, Joseph Rinsong, 58, telah meminta bantuan pihak bomba selepas terperangkap dalam banjir.

Katanya, kediaman mereka dinaiki air sedalam kira-kira 1 meter akibat hujan berterusan sejak semalam yang memenuhi ruang bawah rumah didiami dua beranak itu.

“Tiga anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau terlibat dalam operasi tersebut.

“Setakat ini, dua beranak terbabit tinggal sementara dengan adik beradik yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Tiong memberitahu, pihaknya juga giat melakukan kerja-kerja pemantauan di kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir.

“Buat masa ini, keadaan masih terkawal dan belum ada pusat pemindahan banjir dibuka,” ujarnya lagi. — DayakDaily