Lelaki warga Brunei mengaku bersalah tipu 48 orang libatkan kerugian RM95,620

Polis mengiringi tertuduh ke Mahkamah Majistret Miri.

Oleh Dean Adam

MIRI: Mac 7: Seorang lelaki warga Brunei telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini di atas 16 pertuduhan kes penipuan yang dilakukannya antara November 2015 sehingga Mei 2016.

Tertuduh berusia 60 itu dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Pendakwaan kes telah dijalankan oleh pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Hakim, Zuraini Ali Musa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas kesemua 16 pertuduhan yang telah dibacakan.

Hakim kemudian menjatuhkan penjara 13 tahun 6 bulan serta denda RM4,000 terhadap tertuduh.

Pendakwaan bagi baki 32 pertuduhan terhadap tertuduh akan disambung esok.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah ditahan oleh sepasukan anggota polis di Lawas pada Februari 28 lepas.

Hasil semakan mendapati tertuduh terbabit dalam senarai dikehendaki oleh polis bagi kes berkenaan.

Sebanyak sembilan kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh telah dibuka dengan melibatkan 48 orang mangsa dengan nilai kerugian sebanyak RM95,620.

Tertuduh melakukan kes penipuan berkenaan semasa berada di Miri dengan menawarkan kepada mangsa berkenaan tawaran jual beli rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati urusan tersebut sebenarnya tidak wujud dan wang semua mangsa digunakan untuk kegunaan peribadi tertuduh. — DayakDaily