LAWAS, 7 OKT: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas terjun ke dalam sungai berdekatan jeti di hadapan rumah Asmah Putih di sini sekitar 1.00 tengah hari semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, lelaki terbabit bertindak sedemikian bagi melarikan diri selepas dikejar oleh sepasukan Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJD) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tersebut diaktifkan sekitar 6.30 petang semalam sejurus menerima panggilan memohon bantuan untuk mencari mangsa tersebut sebelum ia ditangguhkan susulan cuaca gelap.
“SAR disambung semula pada jam 7.00 pagi tadi dan Operasi pencarian dimulakan oleh pasukan Bomba bersama 4 orang dengan menggunakan kaedah surface water rescue, graping iron dan (lalau) peralatan cara kampong.
“Radius pencarian sekitar satu kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) di tempat mangsa dipercayai hilang menuju ke hilir sungai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, dompet duit mangsa, Awang Asmali Awang Damit, 35, ditemui penduduk kampung Jamuddin Amad yang menyertai operasi SAR tersebut berdekatan rumpun buluh di tepi sungai.
Bagaimanapun, mangsa tersebut masih belum dijumpai sehingga SAR ditangguhkan sebelum ia disambung semula pada 2.00 petang. — DayakDaily