Oleh Dean Adam
KOTA SAMARAHAN, Nov 24: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia maut dirempuh sebuah lori di Jalan Kuching-Samarahan expressway di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu mengakibatkan mangsa, Ismail Ahmad, 57, dari Kampung Meranek meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebelum kejadian, mangsa yang juga pekerja am Zecon dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampungnya dari arah Kuching dengan menunggang motosikal jenis SYM 110 Bonus.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, lori simen yang dari arah Kota Samarahan tidak menyedari kehadiran motosikal mangsa lalu melanggarnya.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya lalu mengalami kecederaan pada anggota badannya.
“Pemandu lori yang berusia 31 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.
Katanya, pihak polis telah merakamkan keterangan daripada pemandu lori berkenaan untuk membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily