Lelaki temui ajal dilanggar Nissan Navara

Keadaan kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Nissan Navara.

KUCHING, Ogos 9: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia menemui ajal selepas motosikalnya dilanggar sebuah Nissan Navara di Jalan Usaha Jaya di sini awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, Puuan Panjang, 43, dari Kampung Mongkos, Serian, maut serta-merta di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan maut itu dipercayai berlaku apabila sebuah Nissan Navara yang hilang kawalan dan terbabas telah merempuh motosikal mangsa yang bergerak lurus di laluan berkenaan.


Katanya, kesan kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang juga bekerja di kilang Taiyo Yuden melambung dan tercampak dari motosikalnya.

“Lelaki malang yang mengalami kecederaan parah itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

“Remaja lelaki yang berusia 19 tahun yang memandu Nissan Navara tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pihak polis sudah mengambil gambar di tempat kemalangan dan merakam keterangan daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda itu.

Jelasnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily