Lelaki temui ajal dalam nahas jalan raya

Keadaan di lokasi kemalangan.

Oleh Dean Adam

SIBU, Mei 30: Seorang lelaki menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Charles Ngu Ming Jian, 51.


Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.42 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota APM kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba, pasukan APM mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori tangki minyak dan sebuah motosikal.

“Pemeriksaan mendapati, mangsa yang dalam keadaan terbaring di atas jalan raya sudah tidak bernyawa lagi,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, petugas perubatan kemudian mengesahkan kematian mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat mangsa kemudian dibawa pihak polis ke Hospital Sibu,” ujarnya. — DayakDaily