Lelaki tempatan tanpa identiti ditemui mati terapung

Kelihatan seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan terapung.

Oleh Dean Adam

SIBU, Dis 5: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan terapung di terminal bot ekspres di sini.

Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum lagi dikenal pasti disebabkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada anggota badannya.


Ketua Polis Daerah Sibu, Acp Stanley Jonathan Ringgit berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan fizikal dikesan pada tubuh lelaki berkenaan.

Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 72 jam berdasarkan kesan pada anggota badannya.

“Maklumat yang diterima daripada petugas perubatan mendapati mangsa dipercayai maut akibat mati lemas.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Stanley menambah, siasatan juga mendapati mangsa merupakan rakyat negara ini berdasarkan kesan suntikan BCG pada lengannya.

Katanya, pihak polis juga memohon masyarakat awam supaya membuat laporan sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang gagal dikesan untuk membantu siasatan.

“Buat masa ini, kes ini masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily