Lelaki patah kaki, wanita cedera di leher dalam kemalangan dua kenderaan

Keadaan Perodua Alza yang remuk akibat pertembungan dengan sebuah Proton Saga di Jalan Kampung Teh, Dalat.

MUKAH, Jun 19: Seorang lelaki dan wanita cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Kampung Teh, Dalat di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, seorang lelaki mengalami patah kaki kanan, manakala wanita tersebut cedera di lehernya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa berasal dari kampung yang sama iaitu Kampung Tanam Dalat, Mukah.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Jolhan Sahadan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.48 petang.

Jelasnya, sejurus menerima laporan kejadian, lima anggota bomba diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Alza dan Proton Saga.

“Seorang lelaki yang memandu Perodua Alza dan wanita yang memandu Proton Saga yang tidak tersepit telah dikeluarkan oleh orang awam,” katanya ketika di sini hari ini.

Tambah Jolhan, kemalangan itu berlaku akibat jalan basah selepas hujan.

Ujarnya, kedua-dua mangsa yang cedera kemudian diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Dalat untuk tindakan lanjut.

“Operasi menyelamat itu tamat pada pukul 6.49 petang selepas keadaan di lokasi kejadian terkawal,” katanya lagi. — DayakDaily