BINTULU, Julai 2: Seorang lelaki cedera parah selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah Toyota Hiiux di Jalan Pisang di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, mangsa yang tersepit dalam Perodua Myvi dilaporkan cedera pada kepala dan badannya.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mostapha Waslie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.44 petang.
Jelasnya, sepasukan sembilan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan masing-masing sebuah Toyota Hilux dan Perodua Myvi yang dalam keadaan terbalik.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki masih tersepit dalam kereta Perodua Myvi dengan mengalami kecederaan parah pada kepala dan badannya,” katanya di sini hari ini.
Mostapha menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas iaitu ‘hydraulic rescue tool’.
Katanya, anggota bomba dari pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.15 pagi,” katanya lagi. — DayakDaily