Lelaki nyaris maut, kereta dihempap muatan batu

Kelihatan kereta yang dihempap batu dari sebuah lori yang terbalik di Jalan Batu Kitang.
Advertisement

KUCHING, Ogos 2: Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya dihempap muatan batu dari sebuah lori yang terbalik dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Batu Kitang berhampiran Kampung Bumbok di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu melibatkan dua buah lori dan sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.04 petang.

Advertisement

Jelasnya, sebaik menerima laporan kejadian itu, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang kemudian bergegas ke lokasi kemalangan bagi melakukan operasi menyelamat.

Dua buah lori yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu Kitang.

“Sejurus tiba, pasukan bomba mendapati dua buah lori telah bertembung sesama sendiri sehingga mengakibatkan muatan batu dari salah sebuah lori yang terbalik menghempap kereta Toyota Vios.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu Toyota Vios berkenaan masih tersepit di tempat duduknya sebelum pasukan bomba mengeluarkan mangsa dengan peralatan khas,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, semasa dikeluarkan dari kereta itu pemandu lelaki berkenaan masih dalam keadaan separuh sedar dan mengalami kecederaan di kepala dan dadanya.

“Anggota bomba dari pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya ke Hospital Umum Sarawak.

“Kedua-dua pemandu lori terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 4.30 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement