Lelaki nyaris maut, kenderaan yang dipandu rempuh pokok

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jun 20: Seorang lelaki nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-MAX yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Tanjung Kidurong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 pagi itu, pemandu berusia 24 tahun telah tersepit dan mengalami kecederaan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 8.10 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kejadian itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-MAX.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas menyelamat bagi membuka pintu kereta sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.

Tambah jurucakap sama, mangsa yang cedera di bahagian kepala dan dada kemudian diserahkan kepada petugas perubatan untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada pukul 8.35 pagi,” katanya. — DayakDaily