Oleh Dean Adam
SIBU, Mei 18: Seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya terputus dua selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Ling Kai Cheng, di sini, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun hanya mengalami kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung dengan kemalangan itu pada pukul 1.27 pagi.
Sejurus itu katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Sungai Merah kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan jenis Nissan dalam keadaan terputus dua selepas merempuh besi penghadang jalan. Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah keluar dari kenderaan itu,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 2 pagi,” katanya. — DayakDaily