Lelaki naik angin tidak dapat pinjam motosikal tumbuk bapa kandung

Royal Malaysia Police logo

MIRI, Ogos 29: Seorang lelaki yang naik angin selepas bapanya enggan meminjamkannya motosikal bertindak menumbuk ayahnya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Permyjaya di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu berlaku apabila si anak lelaki yang berusia 27 tahun menumbuk ayahnya yang berumur 57 tahun.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian sama, lelaki terbabit juga dikatakan bertindak merosakkan pelbagai barangan di rumah keluarganya itu.


Katanya, susulan tindakan lelaki berkenaan, bapa kepada si anak terbabit kemudian membuat laporan polis.

“Susulan laporan polis yang dibuat, suspek kemudian diberkas untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan juga mendapati suspek dipercayai sering bertindak seperti kejadian sama sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap polis menambah, buat masa ini pihak polis masih menyiasat motif suspek bertindak ganas dengan memecah barangan di rumah dan menumbuk ayahnya.

Katanya, bapa kepada suspek dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun laporan polis dibuat bagi memastikan keselamatan ahli keluarga mereka terjamin.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

“Jika sabit kesalahan, seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau ke­dua-duanya,” ujarnya. — DayakDaily