Lelaki murung dilaporkan hilang

Unit K9 bomba sedang melakukan operasi mencari mangsa.

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Nov 25: Seorang lelaki dari Kampung Entingan di sini dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya, hari ini.

Mangsa, Dublin Andrew Ajan, 55, dikatakan dalam keadaan kemurungan setelah terlibat kes kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, Jackson Anyie Ngau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan pada pukul 8.19 pagi.

Unit K9 bomba sedang melakukan operasi mencari mangsa.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Kota Samarahan kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Unit pengesan K9 bomba yang menggunakan khidmat anjing pengesan turut ke lokasi bagi membantu operasi berkenaan.

“Bagaimanapun, setakat ini mangsa masih belum ditemui, namun operasi masih dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Jackson menambah, operasi mencari mangsa terus dijalankan oleh pasukan bomba di sekitar kawasan kampung dan hutan berhampiran.

Katanya, radius pencarian adalah kira-kira 200 meter dari rumah mangsa.

“Maklumat terkini berhubung operasi ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujarnya. — DayakDaily