Lelaki menyamar polis dan liwat kanak-kanak diberkas

ACP Abang Ahmad Abang Julai

KUCHING, Jan 10: Seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan disyaki meliwat seorang kanak-kanak berusia 13 tahun di sebuah kawasan semak di Jalan Demak di sini berjaya ditahan pada Ahad lalu.

Suspek berusia 33 tahun itu diberkas pada pukul 9 malam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, suspek yang juga merupakan seorang penganggur diberkas susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa.


Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa mendakwa tiba-tiba ditahan suspek ketika sedang berjalan seorang diri di jalan berkenaan sebelum lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai seorang anggota polis.

“Mangsa yang ketakutan kemudian mengikut kata suspek sebelum dia mendakwa diliwat di sebuah kawasan semak berhampiran.

“Selepas melakukan perbuatan durjana itu, suspek kemudian meninggalkan mangsa dan melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Kuching di sini semalam.

Mengulas lanjut, siasatan lanjut juga mendapati suspek positif dadah.

Jelasnya, suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut.

“Mangsa pula dilaporkan masih berada dalam keadaan trauma,” katanya lagi.- DayakDaily