Lelaki melecur dan kehilangan rumah akibat kebakaran

Kelihatan api sedang marak membakar sebuah rumah.

Oleh Dean Adam

MUKAH, Feb 15: Bukan setakat kehilangan rumah, seorang lelaki turut melecur apabila kediamannya di Kampung Tanam Seberang di sini terbakar awal hari ini.

Kejadian yang berlaku pada pukul 3.15 pagi itu juga mengakibatkan sebuah rumah kayu musnah terbakar kira-kira 90 peratus.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 3.18 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman tersebut. Pasukan bomba segera melakukan operasi memadam kebakaran bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan berhampiran,” ujarnya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba menggunakan sumber air terbuka untuk memadam kebakaran berkenaan.

Katanya, maklumat dari komander operasi melaporkan terdapat seorang mangsa lelaki berusia 50-an melecur di tangannya.

“Mangsa telah diberi rawatan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan susulan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily