Lelaki maut terkena renjatan elektrik di Simanggang

Mangsa yang meninggal dunia diusung anggota Bomba dari lokasi kejadian.
Advertisement

SIMANGGANG,2 Julai: Seorang lelaki meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di sebuah rumah di Jalan Ridan, Kampung Skim Melugu, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Malaysia berkata ketika kejadian mangsa bersama isterinya dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pendawaian sekitar jam 5.20 petang.

Jelasnya, kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik menyebabkan mereka rebah tidak sedarkan diri.

Advertisement

“Setiba pasukan bomba di lokasi kejadian didapati dua orang mangsa terlantar di atas tanah di tempat kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Bomba kemudian bertindak mengalihkan kabel elektrik yang berdekatan mangsa menggunakan kayu.

“Mangsa wanita telah sedarkan diri, manakala mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya.

“Mangsa lelaki yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.40 petang. — DayakDaily

Advertisement