Lelaki maut selepas bertarung nyawa 15 jam setelah terlibat kemalangan

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di Jalan Miri By Pass-Kuala Baram.

MIRI, Ogos 8: Seorang lelaki yang bertarung nyawa selama kira-kira 15 jam selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Miri By Pass-Kuala Baram semalam disahkan meninggal dunia di Hospital Miri di sini hari ini.

Mangsa, Zehan Amir Razak, 23, disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Miri pada pukul 9 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, SUPT Alexson Naga Chabu berkata, sebelum itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125 telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler kira-kira pukul 5 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Liku hendak menuju ke Permyjaya di sini.

“Bagaimanapun, apabila sampai di lampu Isyarat Jalan Miri By Pass-Kuala Baram tiba-tiba sebuah lori telah keluar simpang.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan berlanggar dengan treler tersebut dan mengalami kecederaan parah pada anggota badannya,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, semasa kemalangan itu berlaku, lampu isyarat di tempat kejadian rosak dan tidak berfungsi.

Katanya, pemandu treler yang berusia 49 tahun pula tidak cedera dan pihak polis sudah mengambil keterangan daripada lelaki terbabit untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily