Lelaki maut, motosikal rempuh besi penghadang jalan

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal di KM 15, Jalan Serian-Kuching.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Ogos 24: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan di KM 15, Jalan Serian-Kuching, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa, Sudin Kendi, 48, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepalanya.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, berdasarkan laporan, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang bergerak lurus dari arah Serian menuju ke Kuching.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang besi di bahu jalan berkenaan.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada kepalanya.

“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.— DayakDaily