Oleh Dean Adam
BETONG, Jan 14: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah Perodua Kembara di KM66 Jalan Sri Aman-Sarikei di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Thomas Beneth Indit Kuncil, 25, mengalami kecederaan parah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang dihantar ke Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan kecemasan kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada pukul 8.50 pagi.
Jelas beliau, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha R250 dikatakan dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Saratok.
“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, apabila kejadian, mangsa yang dalam proses memotong kereta Perodua Viva dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Perodua Kembara.
“Impak kemalangan itu telah mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah,” katanya di sini hari.
Alexson menambah, kedua-dua pemandu kereta berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kecuaian disyaki telah menyebabkan berlakunya kemalangan itu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily