Lelaki maut, motosikal dirempuh kereta

Kelihatan keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.

Oleh Dean Adam

SIBU, Mac 28: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Rantau Panjang, di sini malam semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu mengakibatkan mangsa, Mohd Afendy Ling, 34, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan cuba memotong sebuah motosikal lain di laluan sama.

Bagaimanapun katanya, motosikal mangsa dikatakan bergesel dengan sebuah lagi motosikal sebelum dia tercampak jatuh ke laluan bertentangan.

“Sebuah kereta yang kebetulan bergerak di laluan berkenaan kemudian melanggar mangsa.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily