Lelaki maut, lori tangki minyak sawit dipandu terjatuh dalam gaung

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BINTULU, Okt 1: Seorang pemandu lori yang membawa muatan minyak sawit menemui ajal selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam gaung di Jalan Samarakan-Simpang ke Sungai Emas di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Zamry Manan, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat tersepit di dalam kenderaan berat tersebut.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mustapha Wasli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.48 pagi.


Jelasnya, sejurus menerima laporan kejadian, sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kemalangan bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati sebuah lori tangki telah terjatuh ke dalam gaung setinggi kira-kira 50 meter.

“Pemeriksaan mendapati, pemandu lori berkenaan dalam keadaan cedera parah dan sudah tidak bernyawa lagi akibat tersepit,” katanya di sini hari ini.

Mustapha menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis memberitahu, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung nahas kemalangan tersebut.

Jelasnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. ā€” DayakDaily