Lelaki maut, kereta bertembung di Kota Samarahan

Kereta mangsa remuk bahagian hadapan.

KOTA SAMARAHAN, 5 Nov: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 12, Jalan Kota Samarahan-Mambong di sini semalam.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, 23 tahun, memandu dari arah Kota Samarahan menuju ke Batu 15, Padawan sekitar jam 7.20 malam.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan.
“Kereta mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta yang bergerak menuju ke arah Kota Samarahan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pemandu sebuah lagi kereta iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily