Lelaki maut, kereta bertembung dengan treler

Kelihatan kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dan treler di Miri.
Advertisement

MIRI, Ogos 3: Seorang lelaki menemui ajal selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Jalan Miri-By Pass berhampiran Jambatan Sungai Miri, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.18 petang itu, mangsa, Toh Geok Hui, 55, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 3.19 petang.

Advertisement

Jelasnya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dan treler.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dalam keadaan tersepit di tempat duduk pemandu, malah dalam keadaan tidak bernyawa lagi,” katanya.

Law menambah, pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, selepas berjaya mengeluarkan mangsa, mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

Ujarnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya lagi. — DayakDaily

Advertisement