Lelaki maut dalam kemalangan antara lori dan kereta

Kelihatan tempat kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori.

MUKAH, Julai 8: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya bersama lima individu lain terlibat dalam kemalangan di KM133, Jalan Sibu-Bintulu di sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa, Andrew Buat, 27, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepalanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa menaiki sebuah kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita berusia 29 tahun.


Jelasnya, mereka dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Sibu.

“Namun, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 42 tahun dikatakan keluar dari tepi jalan sebelah kanan untuk melintas ke kiri jalan.

“Pemandu kereta itu sempat mengelak tetapi bahagian hadapan lori tersebut terkena bahagian penumpang belakang iaitu tempat mangsa duduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, impak rempuhan itu mengakibatkan bahagian tepi Perodua Kancil itu remuk teruk.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kepalanya turut terkorban di tempat kejadian, manakala lima yang terselamat.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily