Lelaki maut akibat terseret selepas rempuh lori

Keadaan mangsa selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.
Advertisement

BETONG, Okt 2: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia terkorban dalam satu nahas kemalangan jalan raya di Jalan Pesisir Pusa-Sessang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Abdul Malik Sapiee, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepalanya.

Lebih menyayatkan hati, mangsa yang menunggang motosikal diseret beberapa meter selepas bertembung dengan sebuah lori.

Advertisement

Ketua Polis Daerah Betong, DSP Mohd Fahdil Antum Abdullah berkata, siasatan awal mendapati sebelum nahas tersebut mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya dari arah Kampung Beladin.

Jelasnya, bagaimanapun malang menimpa mangsa apabila motosikal yang ditunggangi berlanggar dengan kenderaan berat tersebut semasa memasuki simpang kanan di jalan berkenaan.

“Kesan perlanggaran tersebut telah mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan terseret beberapa meter di atas jalan raya.

“Keadaan itu juga telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba di situ selepas kejadian,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fahdil memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pihak polis juga telah merakam keterangan daripada pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan kes.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement