Lelaki maut akibat tersepit, Toyota Hilux dipandu rempuh lori

Keadaan kemalangan yang melibatkan Toyota Hilux dan sebuah lori.

DALAT, Feb 1: Seorang lelaki maut selepas Toyota Hilux yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di KM 46, Jalan Sibu-Bintulu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu, mangsa, Wong Lai Hook, 34, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat tersepit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Sibu ke Bintulu.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi, Toyota Hilux yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

“Kesan perlanggaran kuat itu mengakibatkan bahagian depan Toyota Hilux berkenaan remuk teruk dan terperosok di bawah lori.

“Mangsa pula dikatakan tersepit di tempat duduk pemandu dan dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pemandu lori dan tiga lagi penumpang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily