Lelaki lakukan provokasi dalam video tular, tampil serah diri

Tangkap layar dari video yang tular.

KUCHING, 18 Mac: Lelaki yang dikesan melakukan provokasi ke atas pengguna jalan raya lain baru-baru ini tampil menyerah diri pada malam Sabtu (16 Mac) lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 18 tahun itu menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching sekitar jam 9.30 malam.

“Suspek menyerah diri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan turut dirampas sebuah motosikal milik suspek.


“Suspek kini ditahan reman selama dua hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semakan terhadap suspek juga didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Baru-baru ini IPD Kuching mengeluarkan satu kenyataan memburu suspek selepas video suspek melakukan provokasi tular di media sosial.

Dalam video berdurasi 1.50 minit tersebut, suspek yang menunggang sebuah motosikal dan dibonceng seorang lelaki telah melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya lain.

Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 14 Mac di Jalan Demak iaitu berhadapan sebuah pasaraya. — DayakDaily