Lelaki jatuh perahu di Mukah, ditemui mati dipercayai lemas

Mayat mangsa dibawa ke darat selepas berjaya ditemu.

MUKAH, 28 Jun: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari perahu semasa dalam perjalanan pulang menerima vaksin ditemui mati dipercayai lemas.

Difahamkan mangsa James Maun, 48, semasa kejadian dikatakan sedang mengemudi perahu di muara sungai Batang Igan sebelum dikatakan tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai dan hilang.

Laporan kehilangan mangsa telah dibuat dan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dipohon untuk mencari mangsa sekitar jam 1.59 petang.


Jurucakap Bomba berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan selepas itu dengan turut disertai penduduk kampung dan polis.

“Pada jam 4.35 petang, mayat mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung kira-kira 500 meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan  kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi SAR ditamatkan pada jam 5 petang. — DayakDaily