Oleh Dean Adam
MIRI, Jan 28: Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas terlibat dalam kemalangan di KM11, Jalan Bukit Peninjau di sini hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Safaruddin Siong dijumpai dalam sebuah parit di bahu jalan berkenaan kira-kira pukul 1.10 petang.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum itu petugas Balai Polis Trafik Miri telah menerima maklumat awam terdapat satu kes kemalangan maut di Jalan Bukit Peninjau melibatkan seorang penunggang motosikal.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash datang dari arah Miri menuju ke Bakong dekat sini.
“Bagaimanapun, apabila sampai di tempat kejadian yang berselekoh dan menuruni bukit, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan tercampak ke dalam parit yang berair,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, berdasarkan keadaan mayat sudah mula mereput dan membusuk, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam.
Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily