Lelaki India jatuh dari kapal ditemui mati

Lokasi mayat mangsa dijumpai.

SIBU, 13 April: Seorang lelaki warganegara India yang dilaporkan terjatuh dari sebuah kapal di Jalan Sungai Maaw, di sini pada Khamis lepas ditemui mati hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan penemuan mayat mangsa pada jam 8.50 pagi tadi.

Katanya, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus ke lokasi kejadian untuk mengangkat mayat mangsa.


“Mayat dijumpai di bawah jeti Boh Ming Beading Farm sejauh lima kilometer dari Pusat Kawalan Bomba ke hilir Sungai Batang Igan seperti yang dilaporkan orang awam kepada pihak polis.

“Mayat seterusnya dibawa ke Simpang 3 Sibu untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi SAR yang bermuka dari Khamis lepas ditamatkan pada jam 10 pagi tadi.

Mangsa Jamwal Akash, 23 tahun dilaporkan terjatuh ke dalam sungai Batang Igan sekitar jam 10 pagi (11 April).

“Semasa kejadian saksi mendengar bunyi mangsa jatuh dari atas kapal dan ternampak mangsa terkapai-kapai di permukaan air kira-kira 30 meter dari kapal,” katanya.

Operasi SAR mangsa dilancarkan selepas laporan diterima. — DayakDaily