SONG, 12 Oktober: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semalam ditemui mati lemas di Sungai Tekalit, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Seli Gong, 41, ditemui dalam keadaan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa dijumpai kira-kira pukul 10 pagi pada jarak satu kilometer dari Pos Kawalan Bomba.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Song untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.
Jurucakap sama menambah, operasi SAR itu tamat sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis.
Katanya, sebelum itu pihak bomba menerima laporan bahawa mangsa tidak pulang ke rumah panjang selepas keluar membeli barangan keperluan di sebuah kedai di rumah panjang berhampiran. — DayakDaily