Oleh Dean Adam
KUCHING, Dis 5: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari kayu di kawasan hutan dekat sini sejak semalam ditemui selamat hari ini.
Mangsa, 82, dari Kampung Pangkalan Samariang di sini ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 7 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Tan Min Chai berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan lemah dan selamat kira-kira 5 kilometer di kawasan hutan selepas menyusuri Sungai Batang Salak.
Menurutnya, pasukan SAR kemudian memberi rawatan awal dan makanan serta minuman kepada mangsa sebelum dia dibawa balik ke kampung.
“Mangsa telah berjaya dibawa keluar dari hutan seterusnya dibawa ke pos kawalan bomba di Pangkalan Batu Samariang.
“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.50 pagi selepas mangsa diserahkan kepada ahli keluarganya,” katanya di sini hari ini.
Tan menambah, sebelum itu pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 11.38 malam tadi.
Bagaimanapun katanya, disebabkan faktor keadaan yang gelap, operasi SAR hanya dijalankan pada pukul 6.15 pagi tadi.
“Berdasarkan maklumat sebelum itu, mangsa dikatakan keluar untuk mencari kayu dengan menggunakan sebuah perahu pada pukul 11.30 pagi,” ujarnya. — DayakDaily