BINTULU, 5 Feb: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di sungai di RPR Sibiew, di sini sejak semalam ditemui mati hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa, 20, ditemui terapung oleh orang awam pada jam 5 petang tadi.
Katanya, lokasi mangsa ditemui adalah kira-kira 100 meter ke hilir daripada jeti tempat beg dan selipar mangsa ditemui.
“Mayat mangsa kemudian dibawa oleh pihak Bomba dan polis ke Pusat Kawalan Bomba untuk tujuan pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa kali terakhir dilihat pada 3 Februari sekitar jam 2 petang.
Difahamkan mangsa ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja.
Laporan dibuat oleh keluarga mangsa selepas dia tidak pulang dan gagal dihubungi. — DayakDaily